Percubaan Kali Ke-N Membunuh Hiatus

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH

Kesalahan paling akbar seorang penulis boleh buat, menurut sejarawan Antony Beevor, adalah memulai sesuatu penulisan tanpa kesabaran. Beliau percaya, jikalau komponen menulis dalam keadaan belum sepenuhnya matang dan jalan cerita masih belum berkembang, ikhtiar untuk menghasilkan sesuatu karya akan menemukan jalan buntu. Tanpa sistem, metode dan struktur yang jelas, sesebuah projek sastera akan tersudut di gudang gendala.


Tapi, padaku--seorang absurdis--jalan buntu itu (dead end)--adalah suatu euforia.

Kita tidak harus membenci penulisan kerana rasa pegal dengan struktur semata-mata. Kita menulis kerana hati mahu bersuara, akal tidak mahu ambil jalan diam bila dihadapkan dengan suatu permasalahan. Kita mahu "mengambil sikap" seperti yang Faisal Musa selalu pesan, dengan kejadian-kejadian sosial yang berlaku di sekeliling kita. Di peringkat intrapersonal, menulis adalah cara kita melawan, supaya "mindaku tak mencekik jiwaku dan lantas tidak mencekik dirinya sendiri pula."

Lebih klasik lagi, Scott F. Fitzgerald menutur: "Kau tidak menulis kerana mahu mengatakan sesuatu, kau menulis kerana ada sesuatu yang ingin kau perkatakan".

Ada kalanya, menulis menjadi cara kita merasai semula sesuatu cerita buat kali kedua, bahkan berkali-kali, bahkan berkongsi cerita itu sama orang lain. Menulis juga usaha yang bermuara dari keraguan diri-sendiri dalam mengingat sesuatu hal secara jitu, justeru kita mentranskripnya ke dalam halaman diari dan jurnal, blog (ehem) waima di sosial media, supaya sekiranya perasaan kita rancu serta bias untuk menukar narasi asal, cetakan originalnya masih ada. Di buku. Di akaun internet. Kekal legible.


Tidak semestinya bila menulis, kita mahu jadi penulis yang sungguh-sungguh. Kita menulis kerana ada suatu idea atau cerita yang ingin kita pelihara dalam bentuk kosa kata dan bunga bahasa agar ia tidak lupus. Kita menulis kerana kita suka mengabadikan hal-hal yang kita rasa layak diabadikan. Akhirnya, kita menulis kerana kita manusia (sebetulnya, hanya manusia spesis yang pandai dan suka menulis).

Seperti si Shakespeare yang menjadikan kekasihnya azali dalam barisnya: "So long as men can breathe or eyes can see, so long lives this, and this gives life to thee."

Jadi, apalah?

Persetankan struktur kalau itu menghalang jemarimu dari menghasilkan nukilan. Abaikan sistem dan metode (malah, jika perlu, jangan hiraukan tatabahasa hahaha) sekiranya itu menjadi aral melintang dalam kau berpuisi. Dalam menulis, kita harus gopoh, gelabah dan tidak sabar. Catat langsung yang limpas di kepala. Siapa tahu sebaris kata yang kau simpan itu, bisa berkembang jadi serangkap syair, atau seperenggan cerita, atau senaskah novel.

Berdepan writer's block dalam pada itu adalah suatu euforia, kerana itu mengandalkan bahawa kita telah berhadapan dengan tembok kreativiti. Persoalannya, adalah kita hanya mahu bersandar padanya menunggu ia perlahan-lahan runtuh, atau mulai memanjatnya, mencari jalan mengatasi hal tersebut (boleh jadi melalui perbualan produktif dengan sesama peminat penulisan)(kredit: Komuniti Pena Bayu)(betul-betul berharap boleh bersemuka dengan semua sambil bertukar-tukar idea).

(P/S: Ini pujukan untuk diri-sendiri, wahai teman-teman. Eh, Senn, ayuhlah ke buku ketiga!)



Comments

Popular Posts