Kita Sudah Tua, Rambut Kita Makin Putih, Mata Kita Makin Kabur

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH

"Tidak sedar, cepatnya kita tua..." keluh seorang kawan tiba-tiba di sebuah sambutan hari jadi. Saya hanya duduk di situ, bungkam. Biasanya, saya akan memulai pseudo-tazkirah, bercerita pasal pusat soal kewujudan adalah pada memahami kematian. Tapi, dia bukanlah daripada jenis manusia yang suka berbual hal sedemikian. Saya membisu, mata merenung kedalaman perkataannya. Mengerling, saya lihat dia pun sedang berkhayal. "Iyalah, semuanya memang begitu," balas saya. Mengimbau balik, hampanya respon itu.

Mengorbankan kebiasaan

Persoalan kenapa saya menjadi cikgu adalah misteri yang masih belum terjawab.

Pernah saya mengantar suatu pseudo-tazkirah kepada seorang kawan yang bercita-cita hendak menyambung pengajian ke peringkat sarjana. Saya katakan, pernah saya jumpa seorang lelaki yang tidak punya ijazah apapun, tapi berjaya membuat perubahan besar dalam hidup masyarakatnya. Kawan saya itu menarik muka, mungkin terasa. Pun, maksud sebenar saya bukanlah mahu mengejek wawasannya itu. Maksud saya, siapa saja bisa membuat perubahan, apalagi yang ada kapasiti intelek seperti dia (dan idolanya).

Kita selalu dikaburi dengan pelbagai hajat mega; iya, ini seharusnya dijunjung. Semua jenis masyarakat, kemajuannya ditempa dengan hajat-hajat mega. Dalam hal ini, tiada siapa boleh menafikan. Namun, terkadang hajat mega kita itu menyebabkan kita kurang menghargai kebiasaan yang ada di sekitar kita. Hati ini tidak senang siang-malam kerana masih ada mudarat yang belum kita hapuskan, padahal semua kejahatan di dunia ini bukanlah tanggungjawab kita. Bagaimana dengan keluarga, anak-isteri dan diri-sendiri?

Kawan, kita sudah tua, rambut memutih kehilangan hitamnya. Mata kita kadang-kadang tidak jelas, antara alam nyata dan impian semalam. Tatkala dunia yang kita bina telah siap, yang kita ada hanyalah ketuaan yang bertenggek di segenap inci tubuh. Iya, alam semesta tidak berpusatnya diri kita. Tapi, ialah satu-satunya radas untuk kita benar-benar menghargai apa yang kita ada (dan tidak ada). Maksud saya di sini, bukan hanya dari segi fizikal, dari segi mental juga, dari segi spiritual dan hal lain seumpama itu.

Saya juga begitu

Membesar miskin, saya punya kejengkelan terhadap kemiskinan. Saya mahu kaya-sekaya-kayanya. Saya percaya, peratusan besar saya memulai tabiat menulis kerana dorongan kewangan. Lama-kelamaan, semakin saya bercampur dengan orang, saya mulai sedar bahawa bukan hal itu yang saya perlu cari; rumah besar, kereta mewah, isteri lawa. Yang saya perlu cari adalah kebijaksanaan untuk merasa cukup dalam rumah kesederhanaan. Cara hidup juga perlu condong kepada sikap komedik terhadap dunia.

Saya tidak terus lekas membuang pandangan lama itu -- keinginan menjadi kaya -- ia perlahan-lahan mendap ke bawah, ke arah simen yang saya renung tatkala kawan saya mengeluh ketuaannya. Saya masih mahu kaya, membantu orang setiap masa (walaupun usaha 0.00234% saja). Yang berubah cumalah pendirian saya terhadap kekurangan dan kelebihan diri. Semua pesanan hidup ini dikukuhkan lagi dengan beberapa insiden yang saya cuma boleh tuliskan pada buku jurnal. Kalau rajin, saya tulis di sini seperti biasa.

Genius

Di sini, saya belajar banyak tentang kesederhanaan. Misalnya, tatkala bertandang ke rumah seorang kawan sekerja, saya kagum dengan kemeriahan sambutan ulang tahun pertama kelahiran anak buahnya. Ia ringkas dan bersifat menjemput, tidak berlebihan. Akan tetapi, kemesraan yang melekat pada wajah setiap yang hadir adalah hal yang tidak bolah dibeli hatta oleh golongan istana sekalipun. Sekejap, saya berasa cemburu kerana kemiskinan masa kecil tidak memungkinkan saya mempunyai peluang sebegitu. Sekejap lagi, saya melantunkan pujian tinggi atas kesederhanaan yang dikongsi sepenuh hati itu.

Mahu sekali dua kawan itu saya temukan. Jadi konvensyen orang genius gamaknya. Dengan izin Tuhan, perkara ini tidak mustahil, melainkan ketuaan lebih dahulu menghantar kita ke pintu kematian. Kalau tidak sempat pun, tidak apalah. Saya bawa ke lubang kubur saja segala pesanan mereka. Manalah tahu, berguna untuk akhirat saya.

Budak genius Silabukan. A brother, indeed.

Comments

Popular Posts