Chinta

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH

Di hujung lorong, kau ternampak dia. Merangkul buku erat sambil melilau mencari entah apa. Kau renung dia lama-lama, sehingga dia terperasan dan memandang ke arahmu. Kawanmu kata, bila jodohmu tiba, dunia akan jadi slow motion. Burung tergantung-gantung di udara, awan berhenti berarak. Langit menjadi lebih biru, lautan gamam. Kau mengalami segala simptom yang dijelaskan para pujangga dalam puisi-puisi mereka.

Saya masih keliru, kenapa kita menggandingkan 'jatuh' dengan 'cinta'. Perawan yang kaurenung itu membuatkan kakimu hangat, lalu kau seperti terawang-awang. Angin dan bayu tidak langsung menjatuhkanmu, cuma rambutmu berkibar dipuput oleh kedua-duanya. Mungkin, cinta adalah fenomena graviti spiritual, yang menyadarkanmu bahawa harapan adalah sebahagian besar ketentuan yang masih ada dan bersisa.


Manusia tercipta atas dua bahagian: yang melihat dan yang dilihat. Kau berkeliaran di hutan rimba kehidupan dengan kenakalan-kenakalan tertentu. Tiba-tiba, tersangkut di antara dahan-dahan takdir, adalah dia yang bermain pada buaian. Kenakalan kau lupus, ketidaktentuan kau sirna. Perasaannya seperti telah menyelesaikan misi negara. Kau mendekati, sambil melihat. Lantas ia perasan yang kau merenung, dan dia membalasnya.

Umur remaja, yalah; kita memperkembang bakat kita untuk dilihat. Kita bermain bola, berpuisi, berpidato, melukis, berseni, menyanyi dan macam-macam lagi, untuk mengukuhkan weight of existence kita. Jangan risau, ia bukannya bersalahan dengan naluri. Ia adalah kesemulajadian yang Tuhan jadikan dalam usaha saling menyeru. Dalam zaman remaja, kita buat perkara-perkara gila kerana kita ingin dilihat.

Si dia memandang kau dari hujung lorong dengan buku dalam dakapan, kau rasa sempurna. Berakhirlah sudah pencarianmu dalam belantara kehidupan yang tebal dan indah ini. Kau memutuskan untuk tidak menginginkan perhatian sesiapa lagi, khususnya dari golongan awam. Perhatiannya sudah melengkapi, sudah cukup untuk mengapungkanmu lima inci dari tanah. Itulah cinta, kawan. Legenda yang selama ini hanya kaudengar tidak pernah kaualami.

Buat yang bergelar playboy atau playgirl, kelibatnya memudarkan kewujudan insan lain. Tiada lagi keseronokan manusiawi selain yang diberikan si dia. Tiap hari kau mengkhayalkan dia, mendambakan pujuk rayunya tatkala kerjamu bertimbunan di sekolah (ehh). Khayalanmu, bukan khayalan nakal seperti yang selalu kau buat dahulu. Khayalan ini murni, tulus dan suci kudus, menghambat pelbagai macam rasa negatif dan keputus-asaan.

Cinta memabukkan? Baguslah! Sekurang-kurangnya kaukan berhenti melihat kejahatan.

Cinta membuatkan kau lemah? Eloklah! Barulah kausedar betapa rapuhnya dunia materi ini.

Saya tidak boleh menghindarkan apa-apapun ingatan mengenainya. Dari cara ia tersenyum simpul, kepada cara ia mengelak apabila saya tanyakan soalan-soalan peribadi. Kaki saya jadi suam, merah barangkali. I feel taller. I feel more alive. The sky look bluer, the waves on the ocean pause, birds hover motionlessly on the air. Tumpang lalu, cinta hendak limpas.

Kita akan mati satu hari nanti. Bercintalah. Kepada yang belum tahu isi hatimu mengenainya, biarkan dia tahu. Kalau dia menafikan, itu urusannya. Kepada yang sudah tahu, jaga ia dengan kehormatan. Tuntun ia semula ke lorong di mana kamu mula-mula berjumpa, dan kau menanyakan namanya, meminta nombornya. Kita akan mati suatu hari nanti. Bawalah cinta kalian menghadap Tuhan. Kalau betul caramu, you may proceed to Heaven.

Comments

Popular Posts