Murni

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH

"Dan semuanya yang pernah dia tahu pasal kemurnian, terjejas. Dia tidak pernah memilih takdir, mahupun menyalahkannya. Kalau ditakdirkan orang yang disanjungi menjadi musuhnya, maka biarlah itu perjalanan hidup yang dia harus lalui."
Dalam Ahlus Sunnah, salah-satu kaedah berhadapan takdir adalah 'al-kadhu', 'al-kasb' atau 'jihaad'. Secara ringkasnya, selagi kau dikurniakan kesempatan untuk membezakan kebaikan dari keburukan, untuk memilih kebenaran melebihi kepalsuan, adalah menjadi tanggungjawab kau untuk memilih kebaikan dan kebenaran. Pesan Imam Berempat, tindakan harus beralasan sahih.

Jadi bila dengan pemikiran begini kita menghadapi dunia, serta-merta lapang dirasakan. Sama ada kau boleh menampung bebanan yang ditakdirkan olehNya, atau kau akan diganjari keampunan andai terkorban dalam melaksanakannya. Justifikasi kau jadi jelas, biarlah apa orang kata, ini cara kau pandang hal ini-itu. Semua dengan perjuangan sendiri; kau perlu justifikasikan perjuangan kau.

Seorang kenalan yang mengkagumkan, Syed Umays pernah menegur, kau di hadapan Tuhan sewaktu Hari Penghakiman hanya akan berdiri atas perkara yang kau 'held accountable'. Kau tidak akan ditanya kenapa jiran sebelah rumah kau mati lalu kau tidak ada di situ untuk men-CPR. Kau akan ditanyakan (wallahua'lam) hikmah yang sudah kau pelajari dari peristiwa itu.

Menjadi jiwa yang murni bukan bersikap lembut dalam semua keadaan, ataupun tersenyum pada semua situasi (mudah-mudahan kita akan sampai ke tingkat itu), tetapi berhikmah. Pandai memilih-memilah tindakan, usaha (al-kasb; al-kadh) dan bersungguhan (jihaad). Jiwa murni terus menghadap ke Tuhan saat kesakitan menerpa, mengingatkan diri bahawa semuanya sementara.

P/S: "You don't have a soul. You are a soul. You have body." - C. S. Lewis

Comments

Popular Posts